Monday, 13 June 2016

PUASA TAPI TAK SOLAT



ADA ke orang yang puasa tapi tak solat?”
“Kenapa dia boleh puasa tapi tak boleh solat?”
“Dapat ke pahala puasa kalau dia tak solat?”
Persoalan ini mungkin biasa kita dengar atau melihatnya sendiri. Ada orang yang berpuasa tetapi tidak solat. Kita mungkin tertanya-tanya, bagaimana kedudukan puasa mereka sedangkan kewajipan yang lebih utama mereka tinggalkan. Sebenarnya, persoalan ini ada asasnya untuk ditanya. Bagi merungkaikannya, kita perlu merujuk semula kepada perbahasan ulama mengenai apakah hukum seseorang yang meninggalkan solat.

Hukum tinggalkan solat
Berdasarkan dalil-dalil daripada al-Quran dan hadis, ulama berbahas panjang mengenai persoalan apakah kedudukan seseorang yang meninggalkan solat.
Pendakwah, Ustaz Razak Abdul Muthalib mengupas tajuk puasa tapi tidak solat dalam ruangan yang terhad ini tidak memungkinkan untuk dinukilkan perbahasan tersebut secara terperinci. Ringkasnya, hukum yang diputuskan oleh ulama boleh dirumuskan seperti berikut:

“Jika seseorang meninggalkan solat dengan sengaja kerana dia menafikan kewajipan solat tersebut, maka sepakat ulama dia telah kufur dan murtad kerana mengingkari kewajipan salah satu daripada rukun Islam.

“Dan jika seseorang meninggalkan solat kerana malas, maka ulama berbeza pandangan dalam hal ini:-

Pertama: Orang yang meninggalkan solat wajib dihukum bunuh kerana dia telah dikira murtad. Ini adalah pendapat Imam Ahmad.
Kedua: Orang yang meninggalkan solat dibunuh dengan hukuman had, tetapi tidak dihukum sebagai kafir. Ini adalah pandangan Imam Malik, Imam Syafie dan salah satu pandangan Imam Ahmad.
Ketiga: Orang yang meninggalkan solat kerana malas adalah fasiq dan dia wajib dipenjarakan sehingga dia mahu menunaikan solat. Ini adalah pendapat mazhab Hanafi.
(Rujuk: Al-Mausu’ah Al-Fiqhiyah Al-Kuwaitiyah, 22/186-187)

Menurut beliau lagi, jika dilihat hukum yang telah diputuskan oleh ulama terhadap orang yang tidak solat adalah amat berat. Ia hanya berlegar di antara sama ada menjadi kafir atau fasiq. Jika diambil hukum yang paling ringan pun sebenarnya ia sudah terlalu berat iaitu fasiq. Fasiq adalah seorang yang berterusan dalam melakukan dosa yang besar. Dosa besar tidak akan diampunkan melainkan dengan taubat nasuha.
Tidak ada kewajipan ibadah lain, jika seseorang Muslim meninggalkannya kerana malas, dibincangkan sampai ke tahap boleh jatuh kufur atau tidak. Misalnya, orang yang tidak berpuasa kerana malas, ulama tidak membahaskan sampai ke tahap adakah perbuatan tersebut boleh menjadikannya kufur atau pun tidak.
Tetapi, dalam kesalahan meninggalkan solat, hukumnya dibincangkan sampai ke tahap tersebut kerana adanya dalil-dalil yang khusus menyebut perihal perkara tersebut. Ini menunjukkan betapa kesalahan meninggalkan solat adalah amat berat dalam Islam.

Tidak solat bukan perkara remeh
DUKACITA dan teramat malang jika ada yang menganggap tidak solat adalah isu remeh temeh, tidak perlu diberi perhatian sangat dengan alasan perlu ditumpukan kepada isu lebih besar. Apa lagi isu yang lebih besar jika solat yang menjadi batas pembeza di antara iman dan kufur ini dianggap kecil.

Beliau menjelaskan, disebabkan perbezaan pandangan ini, ia membawa kepada perbezaan pandangan dalam menentukan kedudukan ibadah puasa yang dilakukan oleh orang yang tidak solat:

“Pertama: Puasanya tidak sah dan tidak diterima. Ini adalah pandangan ulama yang berpegang, orang yang tidak solat adalah kafir. Jadi puasanya tidak sah dan tidak diterima sehinggalah dia bertaubat dan kembali menunaikan solat. 
Kedua: Puasanya sah sekiranya ditunaikan bertepatan dengan rukun-rukun dan syarat-syarat yang ditetapkan di dalam hukum fiqh. Sah bermaksud dia tidak perlu mengulangi semula puasa tersebut.
“Tetapi, perlu diingat, ibadah yang sah tidak menjamin ia akan diterima ALLAH. Contohnya, seseorang yang menunaikan solat dengan perasaan riak. Solatnya adalah sah menurut hukum fiqh jika ditunaikan bertepatan dengan syarat dan rukun yang ditetapkan. Namun, solat tersebut tidak diterima kerana riak.
Jadi, persoalan ini perlu difikirkan. Adakah puasa orang yang tidak solat diterima di sisi ALLAH sedangkan dia mengabaikan kewajipan ibadah yang lebih utama. Untuk apa kita berpuasa? Bukankah kita mengharapkan amalan tersebut diberi pahala dan diterima di sisi ALLAH?

Berpuasa tapi tidak solat?
Jika ditanya kepada orang yang berpuasa tetapi tidak solat, mengapa anda berpuasa? Sekiranya jawapannya ialah kerana puasa adalah rukun Islam yang diwajibkan oleh ALLAH ke atas orang Islam. Jadi, berpuasa demi menurut perintah ALLAH dan mengharapkan pahala dari-Nya. Beliau menambah, ini adalah kepercayaan yang betul. Kepercayaan yang betul mendorong untuk seseorang bertindak dengan betul. Oleh itu, kita boleh bertanya soalan berikutnya, tidakkah dia percaya dan sedar ALLAH yang menjanjikan ganjaran pahala berpuasa adalah ALLAH yang sama  memerintahkan untuk solat.
“Tergamakkah kita melakukan amal kerana taat dan patuh kepada ALLAH sementara dalam masa yang sama kita pula ingkar dan enggan melakukan perintah yang lain?
“Islam dibina di atas lima rukun utama. Jika diibaratkan Islam sebagai rumah, maka tiang terasnya ada lima. Renunglah sabda Rasulullah SAW: “Islam dibina di atas lima perkara: pengakuan bahawa tidak ada tuhan yang layak disembah melainkan ALLAH dan Muhammad sebagai pesuruh ALLAH, menunaikan zakat, mengerjakan haji di Baitullah dan berpuasa di bulan Ramadan.” (Riwayat Muslim)
sekiranya kita diberi pilihan antara dua rumah yang sempurna binaannya dan yang tidak sempurna, mana satu yang kita pilih? Sudah pasti kita memilih rumah yang sempurna. Selain kelihatan cantik, rumah itu menjamin keselesaan dan keselamatan apabila didiami. Begitu juga jika ingin diibaratkan kepada seorang Muslim. Seseorang yang mengaku Muslim dan beriman ibarat  manusia yang tidak sempurna jika kelima-lima teras tersebut tidak dimiliki. Hakikatnya dia tidak cantik walaupun berasakan dirinya cantik. Tidak sempurna walaupun berasakan dirinya sempurna. Tidak selesa dan selamat walaupun kelihatan dia dapat meneruskan kehidupannya dengan penuh kesenangan.

Inilah masa berubah
Sekiranya anda yang terbaca tulisan ini termasuk di antara golongan yang berpuasa tetapi tidak solat, teruskan puasa anda. Lakukan dengan berkualiti. Ikhlas kerana ALLAH dan ikuti sunnah Nabi SAW. Dalam masa yang sama, berusaha untuk sempurnakan keislaman dan keimanan anda. Seandainya puasa yang anda tunaikan semata-mata kerana patuhkan arahan ALLAH, ibadat solat lebih utama untuk dipatuhi. Tunaikan puasa dan dirikan solat. Jika anda ingin berubah, inilah masanya yang sesuai. Ramadan bulan orang ramai bergegas dan berebut melakukan kebaikan. Segera bertaubat dan kembali tunaikan solat.
Sekiranya anda sanggup berlapar dahaga menahan diri kerana ALLAH, apa pula yang menghalang anda bersolat? Berubahlah. Katalah sebelum ini anda tidak menjaga solat lima waktu, sekaranglah masanya untuk komited dengan solat. Jika sebelum ini anda tidak berhijab menutup aurat, sekaranglah masanya anda konsisten. Jika sebelum ini anda jauh dengan al-Quran, sekaranglah masanya anda hampirkan diri dengannya. Sebelum ini anda jarang solat berjemaah, sekaranglah anda mula latihkan diri beriltizam dengan solat jemaah. Jika anda sebelum ini janggal untuk hadir ke masjid, sekaranglah masanya untuk anda selalu imarahkan masjid. Jika sebelum ini anda jauh dengan agama, inilah masanya untuk anda hidup di atas landasan agama. Jadikan Islam sebagai cara hidup kerana Islam bukan hanya di masjid dan semasa Ramadan sahaja.
Percayalah, tidak akan rugi sedikit pun orang yang berubah ke arah kebaikan.

Sunday, 12 June 2016

TIPS MUDAH BANGUN MALAM



1)    Perkara  yang paling utama agar boleh bangun malam adalah meminta pertolongan daripada Allah swt dengan berdoa sebelum tidur. Jika sudah terjaga daripada tidur maka cepat-cepatlah bangun.

2)    Biasakan tidur siang (qailulah) iaitu 30minit sebelum zohor  atau tidur selepas solat zohor.

Sabda Rasulullah SAW :
“lakukanlah qailulah, kerana sesungguhnya syaitan itu tidak berani qailulah”
                                                                              (hadis riwayat ai-Tabrani)

·         Apa itu qailulah?
Qailulah ialah tidur sebentar pada siang hari.
·         Bila waktu yang sesuai untuk amalkan qailulah?
Mengikut pengalaman mereka yang istiqamah mengamalkan qailulah, waktu paling baik ialah antara  jam 12 tengahari sehingga sebelum zohor. Namun, boleh juga dilakukan selepas zohor.

3)    Tidur lebih awal, jangan biasakan tidur lewat yang menyebabkan sukar untuk bangun tahajud. Pastikan tidur selewat-lewatnya pada jam 11 malam.

4)    Ketahui jadual tidur anda setiap malam. Dengan begitu, anda boleh menentukan jam malam anda untuk tidur sesuai dengan keinginan anda mahu bangun pada waktu malam. Untuk mengetahuinya cubalah uji dengan tidur lebih awal, kemudian pasang jam loceng dengan waktu 4 pagi. Jika terjaga mulakan dengan solat  2 rakaat.

5)    Mintalah suami, isteri, keluarga atau kawan-kawan untuk membangunkan anda pada  sepertiga malam.

6)    Anda juga boleh meminta bantuan pada kawan-kawan untuk membangunkan anda melalui panggilan telefon mahupun sms (mesej). Dengan begitu anda telah menerapkan nilai saling menolong dalam kebaikan.

7)    Sebagai latihan, anda boleh mulakan bangun malam 30 minit sebelum waktu subuh dan lakukan solat yang ringan. Jika sudah terbiasa maka percepatkan lagi sejam sebelum subuh dan ditambah jumlah rakaat.

8)    Berwuduk dan membaca al-quran sebelum tidur dan amalkan adab-adab serta cara tidur yang diajarkan Rasulullah SAW.

9)    Elakkan makan terlalu banyak sebelum tidur, kerana ianya akan membuatkan kita menjadi malas untuk bangun tahajud.

10) Jangan tidur dalam keadaan berhadas besar.



11) Jangan berbuat maksiat kerana setiap dosa yang kita lakukan akan membuatkan kita sukar untuk bangun malam.

Ini adalah beberapa cara yang boleh dilakukan agar mudah bangun malam untuk melakukan solat tahajud.



Moga bermanfaat dan selamat beramal.





Monday, 25 April 2016

STREET DAKWAH : PASRAH DENGAN ISTIKARAH.

Alhamdulillah Street Dakwah (SD) kita pada kali ini membawa tajuk “pasrah dengan istikarah” .  


  • Apa itu istikarah?


Istikarah ialah memohon atau meminta yang terbaik dan cara pengabdian  kepada Allah bagi mencari kebenaran dalam membuat pilihan bukan sahaja jodoh tetapi pelbagai perkara dalam urusan kehidupan.

Daripada Jabir r.a, beliau berkata, 

Rasulullah SAW bersabda, maksudnya; “apabila ada daripada kalangan kamu diberatkan oleh sesuatu, hendaklah dia rukuk dengan dua rukuk (mengerjakan solat dua rakaat), selain solat fardhu (mengerjakan solat dua rakaat dengan niat istikharah).”
                                                                                                           (Hadith Riwayat Bukhari)

  • Cara- cara istikarah:


  1.  Mengakui kesalahan dan bertaubat
  2. Bersih dalam pilihan.
  3.  Mimpi atau gerak hati
  4.    Mengulangi istikarah.



Persatuan Mahasiswa Hadhari(PMH) mengambil inisiatif untuk memberikan perkongsian mengenai istikarah melalui pengedaran ‘flyers’. Di sini diselitkan sedikit aktiviti semasa program berlangsung.



Salah seorang daripada pengerak PMH mengedarkan flyers kepada sahabat muslimat.



Penggerak PMH menyampaikan sedikit penerangan kepada sahabat.



Jualan Big Apple turut diadakan di gazebo J5.


Terima kasih kepada semua warga kolej jasmine yang memberi sokongan padu kepada penggerak Persatuan Mahasiswa Hadhari (PMH).  Semoga kalian memperoleh manfaat daripada ‘flyers’ yang diedarkan. InsyaAllah.